Friday, September 21, 2012


Surat terbuka tulisan abang saya di Sabahkini.net. Telah di post pada 7 September 2012.


Saudara Pengarang,

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua para pengendali Sabahkini.net kerana bersusah payah kerana mewujudkan ruang seperti ini untuk kepentingan anak jati Sabah.

Di sini saya terpanggil untuk mendedahkan serba sedikit tentang masalah yang dihadapi oleh penduduk kampung yang menggunakan jalan raya Melinsau-Ranau. Jalan ini merupakan asalnya adalah jalan balak dan menghubungkan lebih 30 kampung iaitu lebih kurang 3 buah mukim.
Jalan inilah yang menghubungkan penduduk kampung ini ke Pekan Ranau atau dunia luar samada untuk tujuan mencari makan, belajar ataupun sekadar untuk bersuka ria.

Namun apa yang mengecewakan, BN telah memegang kawasan ini semenjak kejatuhan PBS iaitu pada tahun 94 dan seingat saya yang kini berumur 28 tahun dan mula mengetahui perjalanan politik bermula pada tahun 1998 iaitu tahun DSAI telah ditangkap dan Sukan Komanwel diadakan di negara kita, sehingga kini keadaan jalan masih atau bertambah teruk berbanding sebelumnya.
Namun diakui telah ada perubahan iaitu mula diturap dari simpang Bengkud ke Kg. Napong iaitu termasuk dalam RMK-10 iaitu projek jalan Malinsau-Kota Marudu. Bagaimanapun, pembinaan ini telah dihentikan kerana telah habis budget untuk Fasa pertama.

Menambah buruk lagi jalan ini telah ditinggalkan begitu sahaja tanpa ada apa-apa penyelenggaraan semula. Jalan ini akan berhabuk semasa kemarau dan akan berlopak yang sangat teruk sekali apabila hujan. Kedengaran cerita, jalan ini akan disambung pada Fasa ke - 2 yang tidak tahu bila.
Saya teringat ucapan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuditi (bekas bertanding di P. 179 Ranau), semasa beliau mula-mula berkempen di Kg. Timbua, yang mengatakan jika beliau menang di kawasan ini, keperluan asas (Jalan, Elektrik, air, Kesihatan, dan Pelajaran) akan ada kemajuan.

Namun amat mengecewakan kami kerana setelah dua penggal beliau memenangi Parlimen P.179 Ranau, tidak ada langsung perubahan sepertimana yang beliau janjikan. Hanya pada penghujung tahun lepas barulah eletrik mula disambung di beberapa Kg. di Mukim Timbua.
Ada antara anda yang mungkin tidak percaya bahawa zaman yang serba moden ini masih ada yang belum pernah merasai bekalan elektrik 24 jam walaupun rumahnya hanya 24 km dari pekan Ranau.

Jalan hanya mula dibuat pada penghujung tahun 2010 atau awal 2011 tapi seperti "melepaskan batuk di tangga". Kini (2012) baru kelihatan kontraktor yang menanam batang paip air di tepi jalan setelah dua penggal beliau menumpang di Ranau, dan batang paip ini mula ditanam setelah satu penggal penuh Datuk Siringan Gubat menggantikan tempat beliau. Namun tidak pasti bila bekalan air ini akan boleh digunakan oleh orang kampung, mungkinkah selepas 3 penggal akan datang?

Saya terharu apabila PM kita melaungkan; "Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan, tidak kira rakyat di pedalaman, akan merasakan pembangunan dalam gagasan 1Malaysia."
Namun kata-kata itu sangat mengecewakan. Itu baru sahaja jalan, elektrik dan air, belum lagi kemudahan pembelajaran, hospital dan sebagainya. Jalan raya Ranau Melinsau ini pernah digelar oleh seorang Pemimpin Pembangkang Ranau sebagai 'Jalan Kambing'? Apakah penduduk di tiga mukim ini hanya layak menggunakan jalan seperti itu?

Kini terdapat beberapa Jentera yang sedang beroperasi namun kelihatannya, seolah-olah 'Jangan Tidak Sahaja'. Sehubungan itu, saya meminta agar pihak berkuasa mengambil berat tentang isu ini kerana keseluruhan penduduk di sini adalah Bumiputera yang layak mengundi.
Adakah perlu penduduk kampung mengalihkan sokongan kepada Pakatan Rakyat barulah kami dapat merasai enaknya memakan makanan segar dari peti sejuk setelah hampir 49 tahun diperdaya Kerajaan Pusat yang 'Janjinya Belum Ditepati!'

Salam Hormat,
MUHARI MUJIN
Kg. Timbua

No comments: