Sunday, November 15, 2009

Politik Sabun

i. Dengan bahasa yang lebih tersusun, dan selepas membuat sedikit pengubahsuaian.

ii. Tidak ada sumber rujukan yang dapat saya kemukakan untuk memberi takrif Politik Sabun. Rasanya (mungkin) penggunaan istilah Politik Sabun ini hanya popular di Sabah. Permainan politik yang diumpamakan seperti sabun. Hanya hangat, berbuih-buih mulut berjanji tapi hanya sebentar saja selepas kepentingan (hajat) mereka tertunai, selepas calon tu menang besar akhirnya janji umpama buih sabun yang akan hilang lurut ke bawah mengikut alir air mengalir.

Mintalah apa sekalipun, minta jalan raya, minta bekalan elektrik, minta zink, mesin rumput, tv, kambing semua akan diberi tapi selepas calon itu menang. Sangguplah mereka berhabis duit masa tu, turun padang, masuk kampung sanggup hanya berjalan kaki sampai ke kawasan tersebut dengan kereta dalam keadaan jalan raya yang teruk tidak berturap, berjiwa rakyatlah kunun. Tapi bila semuanya berlalu, minta maaflah.. siou ne gaman. Dijemput untuk merasmikan sukan sekolah datang bukan dengan kereta apatah lagi berkuda tapi naik lukaptor (helikaptor) dengan alasan menggunakan kereta akan mengambil masa, badan akan sakit,lenguh-lenguh sebab jalan tidak bagus, mahu cepat sebab banyak urusan. Banyaklah alasan.

Selepas tiga penggal pilihan raya dari 1995 campur tahun 2008, 20 tahun sudah berlalu, janji memberi kemudahan jalan raya berturap, elektrik 24 jam sehingga sekarang masih belum tertunai. Ini baru di kawasan perkampugan saya, belum lagi ditambah campur dengan kawasan-kawasan penempatan yang lain. Lima tahun yang pertama mungkin masih boleh diterima akal bahawa proses untuk meluluskan peruntukan tu mengambil masa. Tapi ini sudah bertahun-tahun, apa yang mereka janjikan belum tertunai. Tidak boleh diterima akal.

Di Semenanjung, di pusat-pusat bandar jalan raya berturap yang berlubang pun boleh menjadi satu isu yang besar, semua golongan saling bertuding jari mencari siapa yang salah. Tapi di sabah, khususnya di tempat kelahiran saya jalan utama yang langsung tidak berturap, malah menjadi masalah apabila musim hujan kerana tidak boleh dilalui kenderaan, jalan terlalu licin tapi keluhan rakyat terus di pandang sepi oleh pihak pemerintah. Mana Hak kami Wahai Pemerintah? Di mana keadilan? Kemajuan yang tidak dapat dirasai bersama.

Kalau di Semenanjung ada tempat yang sehingga ke laluan-laluan sawah padi pun diturap. Tempat saya bukan laluan sawah padi tapi jalan utama kegunaan harian, jauh sekali berturap bahkan berbonggol-bonggol. Disini saya tidak bermaksud untuk menyalahkan penduduk Semenanjung,tidak… tapi pihak pemerintah.

Pernah dulu, saya ke pekan dengan menaiki lori (sehingga sekarang masih ada yang menggunakan kemudahan ini) kerana pengangkutan seperti inilah yang paling sesuai dengan keadaan jalan yang teruk. Masa perjalanan dalam satu jam setengah, sebenarnya untuk sampai ke pekan itu tidaklah lama sangat kalau jalan tu berturap, mugkin empat puluh lima minit boleh sampai. Tapi kerana jalannya yang teruk, ditambah lagi dengan kenderaan lori yang hanya beratap kanvas tidak berdinding, bermasalah apabila hujan dan matahari terlalu terik.

Bila masa hujan, Ya Ampun tidak payah cakaplah, lain dengan rasa sejuk ditambah pula dengan kain kanvas yang berlubang, barang-barang dengan penumpang sekali basah. Dan dalam masa perjalanan tu, bertambahlah derita kalau ada jalan runtuh, jalan berbukit yang licin maka berkorbanlah penumpang lelaki untuk menolak kenderaan tersebut dari bahagian belakang. Tidak terfikirkah pemerintah, wakil-wakil rakyat betapa deritanya ni?

Bila musim panas pula, turut menjadi masalah ini kerana jalan utama akan berhabuk, kepanasan yang berlaku menyebabkan jalan akan menjadi kering. Penduduk kampung yang ke pekan dengan hanya menaiki lori, bila berselisih dengan kereta lain ataupun ada kereta yang memotong terpaksalah si pemandu lori memperlahankan kereta untuk mengelakkan penumpang-penumpang bermandi habuk, habuk yangberkepul-kepul. Sehingga ada penumpang yang tidak memakai minyak rambut di awal perjalanan, sampai di pekan barulah mencari tandas untuk berkemas ini untuk mengelakkan rambut mengeras terkena habuk. Rambut yang asalnya hitam menjadi kuning, baju turut menjadi seakan-akan lusuh.

Tapi kesan utama masalah ini selain keselesaan adalah dari segi kesihatan. Para penumpang yang mendapat bahaya dari segi kesihatan disebabkan habuk ni. Tumbuhan di sepanjang jalan turut mendapat kesan kerana tidak lagi terlihat kehijauan daun-daun pokok. Yang ada cuma warna kuning yang menutup warna hijau daun, warna habuk yang berterbangan. Dan untuk para pemilik kenderaan, jumlah pndapatan yang diperolehi tidak setimpal dengan usaha mereka. Harga minyak, bayaran bulanan, belanja seisi keluarga dan juga kerosakan kereta menjadi bebanan.

Saya bukan ahli mana-mana parti politik, juga tidak berminat dengan politik sekadar mengikuti perkembangaan ini kerana kita turut terkena tempias kesan politik yang berlaku. Menolak atau menerima semua yang berlaku, kita sebagai rakyat biasa yang akan melalui semua dasar-dasar yang dibuat oleh parti Pemerintah, terpaksa akur tidak mempunyai pilihan lain. Bila kita mengkritik dikatanya kita tidak bersyukur dengan bantuan kerajaan, membantah di katanya pula kita derhaka. Padahal yang kita minta itu bukannya kemajuan tetapi kemudahan. Maka, di sini (mungkin) adalah lebih baik jika kita mengikuti perkembangaan politik semasa supaya tidak hanya mengikut belakang orang lain. Biarlah kita punya pendirian sendiri.

Seperti yang dikatakan oleh Tun Dr Mahathir, “ sebenarnya hampir semua peserta Bumiputera di Konvensyen ini (Konvensyen Ekonomi Bumiputera di UKM ), samada mereka ada di bawah atau di atas pentas ini telah mendapat faedah daripada Dasar Ekonomi Baru. Sekiranya mereka sudah berkerja, saya pasti pendapatan mereka jauh lebih tinggi dari pendapatan ibubapa mereka dahulu. Sekiranya mereka masih belajar, itu juga bererti pendapatan mereka telah bertambah kerana pada hakikatnya yuran untuk membiayai seorang pelajar di university tidak mungkin mampu di tanggung oleh keluarga miskn. Samada mereka mendapat biasiswa atau tidak, sebahagian besar perbelanjaan bagi memberi pelajaran kepada mereka di tanggung oleh kerajaan…sungguh bertentangan dengan islam kalau kita tidak mengendahkan pemberian yang kita perolehi dan sebaliknya mengutuk pemberi (kerajaan), lebih-lebih lagi memandangkan kita (bumiputera) miskin dan memerlukan bantuan. Beliau menambah, “sejak kita merdeka dan sejak DEB dilancarkan ramai di antara kita, sesungguhnya kesemua kita Bumiptra (muslim) telah menerima banyak faedah baik secara langsung mehupun secara tidak langsung. Hakikat ini perlu di akaui. Kita mesti mengingat dan bersyukur kerananya.” di petik dari buku Pelindung(protector) tulisan Dr Chandra Muzaffar

Bila ada yang melawan arus, modal pemerintah adalah seperti yang di atas. Meminta-minta, tidak sabar, tidak bersyukur tapi bila saja masa mengundi di sayang-sayangnya rakyat hingga sanggup tinggalkan anak isteri. Kita bukan meminta kemajuan bukan.. Kita cuma menuntut hak.Kita mahu ingatkan bahawa tanggungjawab tu amanah yang akan dituntut di akhirat tapi sayangnya pemimpin bukan beragama Islam. Ada pemimpin Islam tapi bila ada keramaian minta dirai dengan hiburan dan sagantang. Dilihatnya kita (penduduk kampung) senang untuk di gula-gulakan, tidak mampu buat apa-apa tindakan. Maaf, kami tidak sebodoh itu. InsyaAllah, seperti tsunami politik 2008 ianya pasti akan berlaku di sana sekiranya tuntutan dan hak kami masih dipandang kosong.

Semua itu saya kisahkan dari apa yang telah saya lalui. Kita bukan meminta-minta tapi kita menuntut hak. Saya kesian dengan penduduk kampung sehingga kini, terpaksa bergelap pada waktu malam yang hanya diterangi lampu minyak tanah, mengambil masa yang panjang sehingga sepertiga siang untuk pergi dan balik ke kawasan pekan. Ke pekan untuk membeli minyak sehingga bergelen-gelen untuk keperluan harian. Tidak boleh diterima logik akal zaman moden yang kata mereka menuju Wawasan 2020 pun masih ada lagi yang malamnya hanya diterangi lampu miyak tanah. Ini bukan black out juga bukan mengikuti kempen bergelap selama sejam tapi ini suatu penderitaan. Sehingga ada keluarga yang me’Recycle’ semula cairan lilin untuk menerangi seisi keluarga. Cairan lilin dikepal-kepal untuk membalut tali yang akan dibakar dan dalam masa yang sama cairan itu ditadah semula ke dalam tin untuk kegunaan hari esok pula.

Kami masih di rumah yang sama, di pintu yang sama cuma saja bilik yang berbeza tapi tidak diendahkan. Tidak merasa kemudahan dan kemajuan yang sama. Wahai pemerintah, tidak dapat di dunia sehingga ke akhirat hak ini akan saya tuntut. Tidak kira pemimpin pemerintah di bahagian daerah hingga ke pusat semua terangkum sekali. Jangan gila mahu menjadi pemimpin kalau hanya nama, pangkat dan harta yang dikejar. Jawatan tu jangan diminta-minta kerana itulah yang membuatkan seribu satu janji dicipta.

Suara kecil ini jangan dipandang sepi, bilangan kami ramai Gunung Kinabalu tu mampu kami ratakan walaupun mengambil masa..ya, sikit-sikit lama-lama jadi rata. Sedar, peka dan bertindaklah wahai pemerintah!!!

Friday, November 6, 2009

Malam-Malam Kami

Malam…
Yang ada ketenangan
Dihembus rasa dingin
Dihiasi kesunyian
Mujur ada bintang penyeri malam

Malam..
Ketenangan itulah yang mendamaikan
Kedinginan itulah yang menghangatkan
Kesunyian itulah yang memahami

Kami..
Dipeluk oleh malam yang sama
Melihat malam yang sama
Diladeni malam yang sama

Kami
Selalu berharap
Tetapi
Tidak pernah menjangka
Tidak pernah menduga

Kami..
Berharap ada yang mengerti..
Malam..
Rupanya mengerti..

Dari kami untuk malam
Terima kasih wahai malam
Kerana selalu ada
Dan menjadi malam-malam kami

* Sedikit pesan dan rasa hati. Ambik dan ubah beberapa ayat untuk menjadi sebuah puisi. Dari dia untuk dia.

Falsafah Tadir. 1

i. Diciptakan kita ini oleh Allah untuk menjadi khalifah dimuka bumi. Kita maklum dengan kejadian kita,ahli-ahli agama, yang bukan ahli pun boleh bercakap tentang hal ini. Ini kerana, ilmu itu Allah ciptakan dan berikan kepada semua tanpa mengira bangsa dan warna kulit dengan syarat mesti mencari ilmu itu. Seiring dengan itu,ketika masih di dunia ini hubungan dengan Allah, dengan manusia dan juga kepada makhluk-makhluk Allah yang lain harus kita selia dengan baik.

Hubungan dengan makhluk-makhluk Allah yang lain. Diciptakan kita ini sebaik-baik ciptaan, sehingga Malaikat itu pun diminta sujud hormat kepada nabi Adam. Ini tidak bermakna kita mesti dihormati,kita tanamkan dalam hati yang kita ini mulia.Tidak. Sebenarnya itulah ujian pertama Allah untuk umat manusia, dapatkah kita mengekang rasa sombong itu. Di sinilah kita diuji, mampukah kita menjadi khalifah yang baik untuk makhluk-makhluk Allah yang lain setelah kita merasa kita ini sebaik-baik ciptaan.

Hubungan sesama manusia. Habluminannas. Untuk apa Allah menjadikan kita berbangsa-bangsa, bersuku puak dan berbeza warna kulit? Tiada tujuan lain hanya untuk berkenal-kenalan supaya kita menyedari kekuasaan Allah itu kerana yang akan dinilai oleh Allah, yang mendapat pertimbangan disisi Allah cuma mereka yang bertakwa. Nilaian Allah itu adalah takwa. Tiada manusia yang mulia, tiada manusia yang terpilih selepas para Nabi. Kalau kita sedar asal kejadian kita, kita tidak akan memandang rendah, merasa diri lebih mulia dari mereka yang lain. Jauh sudah kita tersasar.

Hubungan dengan Allah. Membuat kebaikan dengan mengharap ganjaran pahala atau syurga itu adalah silap. Harus kita faham membuat kebaikan dengan mengharap ganjaran adalah berhubung langsung dengan keikhlasan. Kita beribadat, yang datang dari hati untuk mencari kerdhaan Allah, untuk Allah menoleh, peduli dengan kita bukan untuk mendapatkan ganjaran itu. Maha Adilnya Allah, memberikan ganjaran kepada setiap kebaikan yang dilakukan oleh hambanya bukan bermaksud membuat kebaikan untuk mendapatkan ganjaran itu. Allah itu Maha sempurna, sebenarnya kita ini membuat kebaikan atau meninggalkan larangan Allah tidak mengubah apa-apa, tidak memberi apa-apa erti untukNYA. Redha Allah itulah matlamat kitasebagai hamba.

Wednesday, November 4, 2009

Falsafah Takdir

Falsafah Takdir oleh Pendeta Za'ba. Teruja dan tidak sabar untuk menghabiskan buku ini. Terbit pada tahun 1923, sebuah peninggalan zaman yang benilai berusia 70 lebih tahun.

Buku ini terbit sembilan tahun selepas penulisnya, Allahyarham Pendeta Za’ba meninggal dunia pada 1973. Malah, penerbitan buku ini mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Sebenarnya buku ini tidak pernah dirancang untuk diterbitkan memandangkan buku yang pertama, Falsafah Takdir yang pertama kali terbit dalam tulisan jawi pada 1952 mengundang terlalu banyak kontroversi. (Edisi rumi buku berkenaan dicetak oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1980).

Apabila buku Falsafah Takdir terbit, banyaklah tentangan dan kritikan terhadapnya. Malah, seorang sultan mengarahkan buku itu diharamkan. Tentulah menarik untuk mengetahui apakah kandungan buku pertama itu hingga menarik terlalu banyak perhatian.

Sebagai pemikir yang mendahului zamannya, reaksi terhadap karya beliau tidaklah memeranjatkan. Mungkin orang Melayu belum bersedia menerima pandangan beliau yang begitu radikal. Atau budaya Melayu yang tidak bersedia menerima kritikan masih berleluasa ketika itu.

Sunday, November 1, 2009

Exam

i. Selamat Berpeperiksaan untuk semua teman-teman,
untuk teman-teman yang telah menjadi pendidik
Selamat Menjaga Peperiksaan.

ii. Dedikasi juga untuk seorang kakak yang telah menjadi pendidik dan sedang dirundung emosi. Bersabarlah akak, jangan menduga-duga syaithan itu selalu ada supaya kita terus bersangka-sangka. Bahagia itu pasti akan ada, kerana bahagia itu telah ada untuk kita semenjak dulu lagi. Cuma bagaimanah kita mentafsir bahagia itu?

iii. Untuk 'dia'. siapa?. Selamat Maju Jaya. Jaga diri, semoga bahagia itu ada untuk 'dia' dan 'diri'. Semoga semuanya akan selamat. Biarlah hubungan itu jelas dengan matlamat.

Cinta Seorang Lelaki

Cinta lelaki memang pelik dan aneh, tetapi juga unik. Ia pelik kerana hadir di jiwa seorang lelaki, yang sebelumnya keras, kasar dan kurang romantis; aneh apabila dia sudah lembut dan romantis mudah pula dia berasa sayu pilu dan sensitif hanya dengan kata-kata orang yang dicintainya. Semuanya ini melambangkan keunikan hati lelaki yang sukar difahami adakalanya lunak tetapi selalunya keras dan kurang simpati. Lelaki tidak berupaya hidup tanpa wanita di sisinya tetapi tatkala sudah memperolehinya, jarang pula hendak menghargainya sepanjang usia. Lelaki yang benar-benar lelaki, adalah yang disenangi pasangannya, seorang wanita bernama kekasih mahupun sudah bergelar isteri. Kesungguhan cinta lelaki terpancar melalui:

Kesungguhan dalam melakukan sesuatu buat

kekasih/isteri - tanpa sedikit keterpaksaan.

Semuanya dilakukan dengan rela, ceria dan penuh

bahagia.


Dia berasa puas apabila dapat menghiburkan

pasangannya.


Dia lebih banyak menasihati kerana dia amat

menyayangi kekasih/isterinya.


Dia mencemburi kekasih/isteri - lantaran itu dia

akan mengongkong kebebasan mereka. Kongkongan

semata-mata oleh perasaan sayang dan cemburu yang

meluap-luap.


Dia akan kerap menyatakan ketakutan jika

kehilangan kekasih/isteri.


Dia akan mudah merajuk dan sensitf apabila anda

tidak menumpukan perhatian penuh terhadapnya.

Kadang-kadang dia seperti anak kecil utk

mendapatkan layanan yang terbaik dari pasangan.


Kerajinannya ketara, tergambar melalui kesungguhan

melakukan apa saja asalkan dapat membahagiakan

kekasih/isteri.


Mudah merajuk kerana mahukan kata-kata lembut

daripada kekasih/isteri. Merasa lega bila pasangan

memujuknya.


Dia akan gelisah apabila berjauhan dengan

kekasih/isteri. Dia akan kerap menelefon dan

menghantar SMS.


Dia akan kerap bertanya apakah kekasih/isterinya

mencintainya.


Lelaki yang jujur dan cukup 'mabuk' dalam

percintaanya pasti tidak akan melayan perempuan

lain sewenang-wenangnya. Dia akan berasa berdosa

berbuat begitu tanpa pengetahuan kekasih atau

isterinya.


Oleh : Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj.

Mingguan Wanita 7-13 Februari 2003 (Bil 100"

Monday, September 21, 2009

SELAMAT HARI RAYA EIDUL FITRI

Mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Eidul Fitri, maaf zahir dan batin untuk semua teman-teman, kenalan dan sahabat handai.

Friday, September 18, 2009

Hari-Hari terakhir puasa

i. Menjadi kebiasaan saya untuk membeli buku, lebih baik membeli dari meminjam. Ada satu kepuasan. Membeli buku sepanjang lima bulan, dari awal semester hinggalah ke penghujung, dan masa balik kampung tu saya akan punggah semua buku-buku untuk simpan di rumah. Memang penatlah, bawa buku dari utara hingga ke rak buku di rumah, selama itulah akan ada beg yang akan putus talinya. Sepanjang bulan Ramdhan ini pula saya telah menghabiskan buku Bidadari Dari Timur nukilan Tuan Sabariah Tuan Ishak, Kenang-kenangan seorang GEISHA dan Istimewa Terkenang dari Subky Latif.
ii. Buku-buku yang saya beli sepanjang 2 bulan lebih, belum baca semua masih ada lagi yang
sedang menunggu giliran.




1. Harga Sebuah Maruah : Azizi Hj Abdullah
2. Bedar Sukma Bisu : Faisal Tehrani

Buku ni beli di Ranau, kedai buku cawangan DBP, 50% diskaun. Siapa tidak mau beli kan? Sudahlah buku ni memang saya cari.

3. Penawar bagi Hati : Abdul Qadir bin Abdul Muthalib
4. 13 Mei Sebelum dan Selepas : Tunku Abdul Rahman
5. Buatmu Wanita : Suzana ghazali
6. Satu Rasa Dua Hati : Pahrol Mohd Juoi

Buku-buku ni beli di KL, masa baru sampai dari kampung sebelum masuk kampus. Ada d KL Sentral, Kedai buku di Jalan TAR, tepi-tepi jalan.

7. Nota hati Seorang Lelaki : Pahrol Mohd Juoi
8. Rahsia Bisnes Orang Cina : Ann Wan Seng
9. Naluri Kasih – Tazkirah : Tuan Guru Nik Abdul Aziz
10. Solat jemaah Sebagai Sunnah : Abu Athifah
11. Adab Perbezaan Pendapat Islam : Terbitan ABIM
12. Jelita : Ahdiat Akasha

Beli masa UUM Fair, ni semua buku lama-lama dapat diskaun 70% kecuali Nota Hati dengan Rahsia Bisnes. Masa beli tu, penjaga seorang perempuan dia tercengang tengok saya. Kawan saya cakap dia tengok saya masa mula saya membelek buku sampailah saya tinggalkan gerai tu. Pelik dan ajaib mungkin bagi dia seorang lelaki yang “Rugged” borong buku, buku agama lagi tu. Huhu. Dengan muka ragu-ragu dia tanya mana asal saya, bagitau dari Sabah. Saya perasan ada sedikit perubahan di wajahnya. Allahualam, saya tidak berani menduga apa maksud kerutan di dahinya. Semoga kita semua terhindar dari tipu daya Syaitan dan hati manusia yang berhasad.

13. Istimewa Terkenang : Subky Latif
14. Kenang-kenangan Seorang GEISHA : Arthur Gaden
15. Benarkah Iskandar Bukan Zulqarnain : Afareez Abd Razak

Buku ni beli di Time Square, ambik kesempatan shoping buku masa Majlis Berbuka Puasa bersama dengan Ketua Menteri Sabah di PWTC, 20 Ramadhan 1430, 10 September. Kami sampai di Kl 8 am sedangkan majlis hanya bermula pukul 6 pm. Pusing-pusing di Kl tanpa arah dan ada pula yang cakap saya sesat. Adei.. abaikanlah, mulut dia ikutlah pa dia mau cakap.

16. Bidadari Dari Timur :Tuan Sabariah Tuan Ishak (Isteri Tuan Guru Dato’Nik Abdul Aziz)
(memoir isteri seorang pejuang )

17. Edensor – Tetralogi Laskar Pelangi : Andrea Hirata.
Baru beli 2 hari yang lepas, masa pergi cari baju raya.

iii. Selama beberapa tahun kebelakangan ini, saya membaca, membaca dan terus membaca membuatkan saya berfikir dan terus berfikir. Bila masalah itu mengetuk hati, datang menguji iman, tersayu dengan hati remaja, tersentuh dengan kasih fitrah, terasa seolah-olah tiada sesiapa pun di sisi namun masih ada yang tetap memberi nasihat, peringatan demi peringatan walaupun tidak mendengar. Buku. Di dalamnya ada nasihat, ada pedoman, peringatan dan juga keriangan, dan mula tersedar bahwa hidup ini bukan sekadar untuk bercinta, banyak lagi tanggungjawab yang perlu kita laksanakan sebagai khalifah.

iv. Sedar tak sedar Ramadhan semakin berlalu, semakin ke penghujung namun adakah ia telah kita manfaatkan sepenuhnya. Pernah sekali saya berbuka di Masjid di sebelah kanan saya seorang lelaki yang berasal dari kemboja, yang tidak boleh berbahasa melayu ataupun english, datang ke Malaysia untuk mencari rezeki. Sementara menunggu azan yang semakin hampir waktunya, di depan kami sudah ada nasi dengan lauk pauk, air dan semangkuk bubur lambuk tapi di depan lelaki tu pula cuma semangkuk bubur lambuk, beberapa biji kurma dan segelas air. Saya cuba untuk berkomunikasi, bertanya kenapa dia tidak mengambil nasi tapi kami saling tidak memahami. Saya meneka mungkin dia segan sebab dia bukan pelajar, saya dapat melihat di hujung kaki seluarnya tercalit tanah. Saya beritahu dengan seorang kawan supaya mengambil nasi untuk saudara itu, ketika saya menghulurkan nasi itu dia menolak dengan senyuman. Azan berkumandang, dia berbuka dengan tenang, hati tersentak itulah rupanya sederhana. Berbuka dengan sederhana. Berbuka kita saja sudah membazir, apatah lagi ramadhan ini, kita membazir peluang yang ada. Terdengar perbualan seorang tua dengan kanak-kanak, mungkin saja inilah Ramadhan terakhir untuk kita, belum tentu ada untuk tahun-tahun yang akan datang.

Tuesday, September 15, 2009

sana dulu, hino po...

Betulkah tiada sayang? Betulkah tiada pun rindu?
Betulkah cuma di siring-siring?

Bukan sekali, berkali-kali
Bukan setahun, bertahun-tahun
Kumaus… tiada erti…
Marah… pada siapa?
Biarlah… limpaslah

Limpaslah…
Talib nepo…
Cepat… laju sikit…
Jangan toleh belakang
Silik-silik pun jangan

Untuk yang dipanggil kenangan
Kalau dulu impian
Yang kini pengalaman
Sana dulu…
Ada airmata…

Lebih baik berpaling ke arah lain daripada menutup mata terhadap apa yang tidak dapat kita hentikan. Jangan letak perasaan di depan akal.


*Bahasa melayu sabah
Siring = tepi
Limpas = lalu (limpaslah= memberi ruang untuk lalu )
Sana dulu = bukan bermaksud untuk menunjukkan arah tapi lebih kepada meminta izin “saya jalan dulu”
*Bahasa dusun
Kumaus = terasa hati, merajuk
Talib Nepo = talib : lalu,limpas. Nepo : saja. (maksud: limpas saja)
Silik = lirik, jelling mata (silik-silik : lirik-lirik)